PARIS 5 April – Paris Saint-Germain (PSG) menghampiri kejuaraan Ligue 1 keenam dalam tujuh musim hujung pada minggu ini dan mampu meraih kejuaraan berganda selepas menempah tempat di pentas final Piala Perancis.
PSG akan merangkul gelaran itu buat kali kelapan dan menghampiri rekod Saint-Etienne yang muncul juara 10 kali dengan kemenangan ke atas Strasbourg di Parc des Princes, Isnin depan.
Namun, kelab Gergasi Perancis itu akan dinobatkan juara terlebih dahulu sekiranya Lille tercicir mata di Reims.
Skuad kendalian Thomas Tuchel juga berada di landasan terbaik untuk mengatasi kutipan 96 mata pada kempen 2015-16.
Dalam masa sama, dia menafikan laporan yang mengatakan dia menandatangani kontrak baharu dengan PSG sehingga tahun 2021.
“Saya tidak boleh sahkan, kita perlu tunggu sedikit masa lagi,” kata pengendali dari Jerman itu yang dikecewakan oleh Manchester United pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara bulan lalu.
Marquinhos antara tonggak terbaru PSG yang cedera ketika kemenangan 3-0 ke atas Nantes dalam aksi separuh akhir Piala Perancis, menyertai Neymar, Edinson Cavani dan Angel Di Maria dalam senarai kecederaan.
“Di Toulouse kami hanya ada 14 pemain, kami kehilangan dua di bangku simpanan. Susah untuk menguruskan pemain-pemain.
“Ada pemain yang terlalu kerap diturunkan. Ia sesuatu menakutkan kerana kami kehilangan ramai pemain utama tetapi pasukan meneruskan rentak kemenangan setiap tiga hari.
“Ia menunjukkan keinginan kami untuk menang, bagi saya ia sesuatu yang luar biasa,” kata Tuchel yang hanya membawa 16 pemain dalam kemenangan 1-0 minggu lalu. – AFP











