Program sasterawan negara di universiti dapat sambutan - Utusan Malaysia

Program sasterawan negara di universiti dapat sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 April –  Kurang dari sebulan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan usaha kementerian berkenaan dalam menempatkan sasterawan negara di universti awam, di seluruh negara, hampir kesemua 20 universiti telah merealisasikannya. 

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, komitmen itu termasuklah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Pahang, dan Universiti Malaysia Sabah.

“DBP percaya bahawa usaha penempatan Sasterawan Negara di universiti awam akan menjadikan mahasiswa sebagai mahasiswa yang berilmu tinggi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan karya sastera amat penting dan mengandungi pelbagai mesej tersirat yang jika diungkap akan menjadi khazanah tidak ternilai kepada generasi akan datang.

“Isunya sekarang ialah kita hanya mempunyai enam orang Sasterawan Negara yang masih hidup dan sihat untuk bergerak aktif menjayakan program besar ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Walaupun begitu, kata beliau, perbincangan telah diadakan bersama-sama Timbalan-timbalan Naib Canselor Universiti Awam dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir pada minggu lalu.

Ada juga Sasterawan Negara ini, katanya, yang akan dilantik sebagai Profesor Adjung dan Karyawan Tamu di universiti. Malahan pihak universiti juga bersetuju mengguna sama sasterawan negara ini dalam program penghayatan sastera di unversiti masing-masing.

Sejak belakangan ini, ujar beliau, banyak program bersama-sama sasterawan negara telah mula dilaksanakan di universiti awam, antaranya termasuklah penubuhan Galeri Pak Samad di UniSza, yang dilengkapi dengan lebih 100 buah karya dan dokumentasinya, bukan sahaja merintis lebih banyak perkongsian ilmu kesarjanaan Datuk Seri Dr. A. Samad Said bersama-sama mahasiswa, malah ahli akademik, dan masyarakat dalam program Sehari Bersama-sama Pak Samad di UniSza. 

Dalam program ini, beliau turut menegaskan, bahawa sastera bukan kosong, sastera menghantar pengalaman ke tengah-tengah masyarakat untuk diteladani. A. Samad Said turut diraikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Selain itu, katanya, turut diadakan Wacana Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan, di Universiti Putra Malaysia, akan datang di Universiti Malaysia Terengganu dan program Sasterawan Negara Berkongsi Cerita anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Tegas Abang Sallehuddin, sebagai  pancang memperkembangkan kesusasteraan Melayu, DBP yakin lebih banyak universiti awam akan turut melaksanakan program pengembangan sastera. 

Hal ini, katanya, akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan karya sastera tanah air dalam jiwa anak bangsa khususnya generasi muda negara, serta menyemarakkan nilai kesusasteraan setiap warga universiti tanpa mengira latar belakang ke tahap tertinggi. 

Selain itu, jelas beliau, ia dapat menyemai sikap minat membaca dalam kalangan generasi milenial.

Bagi DBP, katanya, sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk memartabatkan dan mengembangkan sastera tanah air, sambutan meriah terhadap program sasterawan negara di universiti  ini merupakan petunjuk awal yang mempunyai dampak positif terhadap pembinaan tamadun bangsa yang lebih cemerlang. 

Sebagai rekod, enam orang sasterawan negara yang masih hidup dan sihat ialah A. Samad Said, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Datuk Baha Zain, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan. – Utusan Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini