REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kelihatan terkejut ditanya beberapa pemberita tentang dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan kepada pengundi Rantau supaya mengenang budinya.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau tidak pernah membuat kenyataan supaya masyarakat Rantau mengenang jasanya dan mesti mengundi beliau seperti didakwa.
“Nak minta maaf? Minta maaf pasal apa? Saya tak pernah kata minta kenang jasa. Pernahkah?. Dalam banyak ceramah saya kata, saya cuma minta tolong orang Rantau supaya tolong saya.
“Saya tak pernah ungkit kata tuan-tuan mesti undi saya kerana saya berjasa. Saya selalu pun secara bergurau berkata selalunya tuan-tuan minta tolong dengan saya, kali ini saya minta tuan-tuan tolong saya,” jelasnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya beliau meminta maaf atas kenyataannya kepada pengundi Rantau supaya mengenang budinya.
Sebuah portal berita semalam melaporkan kononnya Mohamad menyeru pengundi Rantau supaya ‘mengenang budi’ yang pernah diterima mereka semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Meskipun menafikan membuat kenyataan itu, Mohamad namun mempersoalkan desakan Shamsul itu kerana bagi beliau tidak perlu mengenang jasa bukan budaya masyarakat negara ini. – K! ONLINE











