PRK Rantau: Calon Bebas Mohd. Nor belum mula berkempen - Utusan Malaysia

PRK Rantau: Calon Bebas Mohd. Nor belum mula berkempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Calon Bebas, Mohd. Nor Yassin masih belum kelihatan berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dekat sini walaupun selepas dua hari proses penamaaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi DUN itu diadakan pada 30 Mac lalu.

Beliau yang berasal dari Gemencheh gagal dikesan pemberita di DUN Rantau sedangkan calon Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) telah pun memulakan kempen masing-masing sejurus penamaan calon selesai, manakala seorang lagi calon Bebas, R. Malarvizhi mula berkempen semalam.

Kosmo! Online hari ini berjaya mendapatkan penjelasan Mohd. Nor mengenai perkara itu selepas berusaha menghubunginya sejak semalam.

Calon Bebas berusia 67 tahun itu berkata, beliau memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat memulakan kempennya di DUN Rantau kerana perlu melakukan persiapan terlebih dahulu.

“Hari ini dan esok ada persiapan dalaman. Beri masa sehari dua lagi. Saya akan hubungi dan memaklumkan anda mengenainya,” katanya dalam satu pesanan WhatsApp kepada Kosmo! Online pagi ini.

Tindakan Mohd. Nor menyertai PRK DUN Rantau sebagai calon Bebas menimbulkan kontroversi kerana beliau sebelum ini merupakan bekas calon Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi DUN Gemencheh.

Mohd. Nor mengaku dirinya masih ahli Pas dan berharap ahli Pas di Rantau mengundinya, namun Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan Mohd. Nor bukan lagi ahli parti itu selepas menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) tiga minggu lalu.

Pas Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan mengerahkan seluruh jenteranya membantu kempen calon BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa pula dalam satu kenyataan semalam mengumumkan keahlian Mohd. Nor sebagai ahli Amanah gugur secara automatik selepas bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×