KOTA BHARU – Polis telah menahan seorang lelaki berumur 48 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat dipercayai mangsa bunuh di Kampung Kedondong di Kadok di sini malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di Kampung Kedondong di sini dan masih mengesan beberapa orang lagi individu yang dipercayai berada di tempat kejadian bunuh itu.
Beliau berkata, si mati dikenali sebagai Md Daud Isa, 31, beralamat di Kampung Biah, di sini, dan dipercayai mangsa maut di tempat kejadian akibat dipukul kerana hasil bedah siasat mendapati ada kesan luka besar di bahagian belakang kepala dipercayai mangsa dipukul menggunakan senjata tajam.
“Setakat ini kami sudah menahan seorang suspek dan mahu supaya mereka yang berada di tempat kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, maklumat yang diperoleh juga mendapati mangsa dan kumpulan penyerangnya saling mengenali dan mangsa juga memiliki rekod polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam semalam, satu mayat lelaki ditemukan penduduk di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni dengan luka di bahagian muka, kepala dan badan dipercayai akibat dipukul. – Bernama











