KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur akhirnya mampu merasai nikmat kemenangan pertama musim ini selepas menundukkan Tun Razak FC 3-0 bagi pusingan kedua Piala FA di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan sulung skuad Warga Kota bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) apabila pasukan wakil Lembah Klang tersebut gagal mencatatkan sebarang kemenangan selepas mengharungi enam perlawanan dalam saingan Liga Super 2019 sekali gus menghuni kedudukan tercorot liga tanpa sebarang mata.
Pada aksi tersebut, kapten pasukan, Indra Putra Mahyuddin terlebih dahulu membukan tirai jaringan apabila bijak memanfaatkan hantaran Guilherme De Paula pada minit ke-33 sebelum Irfan Zakaria melengkapkan gol kedua Kuala Lumpur pada minit ke-55 perlawanan.
Biarpun peledak utama skuad Warga Kota, De Paula kecewa selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan baik setelah rembatannya berjaya dinafikan penjaga gol lawan, Mohammad Firdaus Yusof, namun usahanya kembali terhasil apabila percubaannya berjaya meletakkan Kuala Lumpur 3-0 pada minit ke-72 perlawanan.
Keputusan berkenaan sekali gus berjaya menyelamatkan maruah skuad Warga Kota daripada ditewaskan oleh pasukan yang bertaraf semi profesional daripada liga bawahan yang dibimbing oleh Azman Adnan. – K! ONLINE










