KUALA LUMPUR 11 April – Gerakan meminta kerajaan supaya mempertimbangkan semula kenaikan tarif air yang mahu diperkenalkan tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan kerajaan itu hanya akan menambah beban kos sara hidup rakyat dan kerajaan sewajarnya mengekalkan subsidi yang diberikan.
“Sebelum pilihan raya, Pakatan Harapan (PH) sering mengecam negeri-negeri lain yang tidak mampu menyediakan air percuma seperti Selangor tetapi kini mereka bersetuju dengan keputusan begitu banyak negeri yang mahu meningkatkan kadar tarif air. Apa logiknya?
“PH ingat rakyat akan lupa apa yang pernah mereka katakan atau sebenarnya PH tidak ambil kisah tentang beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar mengesahkan enam negeri sudah bersetuju untuk menaikkan tarif air dan kini kerajaan Persekutuan sedang menunggu persetujuan dua negeri lagi. Kata beliau, kenaikan tarif itu berpunca daripada peningkatan kos operasi tehunan industri pembekalan air selain kerana tarif itu tidak pernah disemak sejak 20 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Dominic berharap kerajaan dapat mengotakan janji mereka yang mahu membela nasib golongan berpendapatan rendah (B40) dengan mengekalkan subsidi air untuk mengelakkan kenaikan harga.
Kata beliau, sudah terlalu banyak ‘hadiah’ yang diberikan kerajan kepada rakyat seperti levi pelepasan, cukai gula, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai digital. “Sekarang tarif air pun hendak dinaikkan,” katanya.
Beliau menegaskan hujah Xavier yang mahu meningkatkan perkhidmatan dan menjimatkan penggunaan air melalui kenaikan tarif itu tidak akan dirasai rakyat.
“Sebaliknya, jika tarif air kekal seperti harga asal, ia pasti akan mengurangkan beban rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











