KUALA TERENGGANU 2 April – Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk memberi bantuan sara hidup kepada golongan nelayan di Terengganu berikutan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan bantuan seumpama itu kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat seterusnya terkilan dengan janji kerajaan PH yang disifatkan hanya pandai berjanji.
“Kerajaan PH hanya pandai berjanji dan menipu, kita akan sama-sama meruntuhkan kerajaan PH. Kerajaan negeri sudah berbincang dan sedang pertimbangkan untuk beri sedikit bantuan kepada nelayan,” katanya ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN- Bukit Besi) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Hanafiah seterusnya menarik perhatian, pelbagai langkah serta inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri dalam usaha menangani isu kemiskinan di negeri ini termasuk program bekalan air percuma kepada 8,696 penduduk.
Katanya, jumlah penerima bekalan kemudahan asas itu melibatkan 2,118 di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, 1,146 orang (e-Kasih) dan 5,432 orang di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Menurutnya, begitu juga dengan program bantuan persekolahan kepada seramai 125,169 pelajar yang membabitkan peruntukan berjumlah RM12.5 juta.
“Selain itu, program perumahan Terengganu Sejahtera juga membolehkan setiap DUN menerima peruntukan antara RM750,000 hingga RM1 juta setahun untuk membantu membaiki rumah penduduk,” katanya.











