SAUDARA PENGARANG,
TERIMA kasih diucapkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana baru-baru ini Menterinya, Gobind Singh Deo mengumumkan bahawa televisyen digital di bawah projek DTT (Televisyen Terrestinal Digital) di mana siaran yang dipancarkan itu nanti diberikan percuma kepada rakyat terutama sekali kepada golongan B40.
Difahamkan sebanyak dua juta dekoder berserta aerial UHF telah pun diedarkan kepada rakyat.
Siaran TV digital yang akan dapat ditonton sepenuhnya pada bulan April ini juga yang sudah tentunya menggembirakan rakyat.
Bukan sahaja diberikan dekoder dan aerial percuma, tetapi para pengguna tidak akan dikenakan apa-apa bayaran bulanan.
Ramai di antara rakyat walaupun bukan di bawah kategori B40 tertanya-tanya adakah mereka juga berhak untuk mendapatkan siaran TV secara digital ini.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dengan kos keperluan hidup semakin tinggi, maka adalah wajar ia juga diberikan kepada golongan rakyat lain.
Sekurang-kurangnya, rakyat tidak lagi terbeban dengan siaran TV berbayar yang kadangkala mencecah hingga ratusan ringgit dan tentunya boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.
Ramai juga tertanya-tanya bagaimanakah orang ramai hendak mendapatkan dekoder dan aerial percuma ini atau boleh dibeli di kedai-kedai elektronik sahaja.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan











