IPOH 3 April – Perak mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan di sini sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Perak di sini, pasukan tuan yang dibelenggu masalah prestasi, mempamerkan aksi hambar pada awal permainan.
Malah, Negeri Sembilan lebih banyak melakukan asakan dan memiliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit keenam dan ke-19 menerusi percubaan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.
Perak akhirnya mendahului hasil jaringan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-40 yang mudah menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohammad Kaharuddin Abdul Rahman selepas mendapat hantaran Wander Luiz.
Begitupun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Jose Almir Barros pada minit ke-67.
Perak kembali mendahului hasil jaringan menarik Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-78 setelah mendapat hantaran silang J. Partiban.- UTUSAN ONLINE
Berikut adalah keputusan perlawanan pusingan kedua Piala FA hari ini:
Kelantan United 1 Sabah 0
Pahang 4 PIB FC 0
Pulau Pinang 1 Penjara FC 0
Perak 2 N. Sembilan 1
PKNS FC 3 Melaka United 2
UiTM FC 0 Petaling Jaya City 2
Batu Dua FC 1 PKNP FC 2










