Peragut diberkas selepas motosikal ditunggangnya terbabas - Utusan Malaysia

Peragut diberkas selepas motosikal ditunggangnya terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal diberkas polis selepas motosikal yang ditunggangnya untuk melakukan jenayah ragut terbabas dalam satu adegan kejar-mengejar di ibu negara malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 malam sewaktu mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an sedang berehat di belakang sebuah restoran di Jalan Masjid India, di sini, sebelum dihampiri oleh sebuah motosikal. 

“Suspek kemudiannya cuba untuk meragut rantai emas yang dipakai mangsa namun mangsa yang sedang merokok ketika itu sempat mengelak mengakibatkan rantai emas yang dipakainya terjatuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek kemudiannya terus memecut untuk melarikan diri namun abang ipar mangsa yang berada di lokasi bertindak mengejar suspek sebelum meminta bantuan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Munshi Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Rudy, semasa kejadian kejar-mengejar itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an turut bertindak melanggar mangsa sehingga mengakibatkan motosikal ditunggangnya terbabas sendiri.

“Susulan kejadian itu, suspek mengalami kecederaan ringan pada kaki, tangan, mulut dan dagu manakala mangsa pula mengalami kecederaan luka pada kaki, tangan dan di sebelah kiri kepala.

“Polis kemudiannya turut merampas motosikal ditunggang suspek, topi keledar, kunci motosikal beserta cukai jalan, telefon bimbit, alat penimbang, walkie talkie, dan pisau boleh laras serta beberapa barangan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan curi motosikal,” jelas beliau.

Tambah Rudy, semakan lanjut yang dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau melibatkan kes dadah serta samun.

“Motosikal yang ditunggangnya juga didapati merupakan motosikal curi yang masih lagi dilaporkan hilang.

“Kes kini disiasat  di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×