Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut digilis, diseret 12 kilometer  - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut digilis, diseret 12 kilometer 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dia digilis dan diseret sejauh kira-kira 12 kilometer (km) oleh sebuah kenderaan dalam kemalangan tragis di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Haris Mohamad Fuad, 22, yang berasal dari Sungai Jawi, Pulau Pinang itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di seluruh badan. 

Mayat mangsa yang dalam keadaan parah di tengah jalan raya telah ditemui oleh orang awam ketika melalui laluan di Kilometer 260 selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 terbabit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. 

“Tiba di tempat kejadian, motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum dia digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti. 

“Mangsa telah digilis dan diseret sejauh 12 km dari lokasi kemalangan berlaku dan dia maut di tempat kejadian selepas cedera parah di seluruh badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Ali, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×