REMBAU 8 April – Para pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kesal dengan serangan peribadi yang dilakukan terhadap calon yang bertanding dalam PRK tersebut.
Mereka menyifatkan perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku dalam dunia moden hari ini dengan perkembangan teknologi menjadi minat hampir semua orang.
Pesara kerajaan, Abdul Majid Abdullah, 68, berkata, selain terkutuk, serangan peribadi sudah tidak relevan lagi dalam perjalanan pilihan raya masa kini.

Beliau yang merupakan pengundi dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah berkata, mereka yang mengambil bahagian sepatutnya memberi penerangan mengenai program dan cadangan untuk memajukan masyarakat di kawasan yang ditandingi.
“Bila zaman sudah maju, kempen penerangan ini menjadi lebih hebat lagi. Orang ramai kini tiada masa hendak dengar pasal tuduh-menuduh,” katanya di Rantau hari ini.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili BN, Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan dua lagi calon bebas iaitu R. Malar dan Mohd. Nor Yassin.

Pesara tentera, Mohd. Nor Othman, 69, berkata, serangan peribadi sekalipun ia benar, adalah perbuatan yang tidak elok dilakukan oleh sesiapa pun.
Beliau yang merupakan pengundi dalam PDM Kampung Sega berkata, semua orang di dunia ini tidak sempurna dan masing-masing pernah melakukan kesilapan.
“Kita sepatutnya gentlemen, bukan kebudak-budakan. Berkempen untuk menang pilihan raya. Kemukakan hujah-hujah yang baik. Sudah pasti, ia akan menarik minat pengundi,” ujarnya.
Pekerja swasta, Gan Soo Mee, 54, berkata, beliau tidak dapat menerima serangan peribadi terhadap Mohamad yang dianggapnya sebagai orang baik dan telah banyak berjasa kepada penduduk di Rantau.

Beliau yang merupakan pengundi dalam PDM Bandar Ekar berkata, bekas Menteri Besar itu telah menjaga kepentingan semua orang dan kaum dalam kawasan DUN itu.
“Bagi saya dia tidak buat apa-apa kesalahan. Jadi tidak ada sebab mengapa peribadi beliau menjadi sasaran dalam kempen pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











