Sejarahnya adalah PAC akan menyaksikan buat kali pertama seorang wanita dilantik sebagai pengerusi sejak penubuhannya pada 1959.
Di United Kingdom (UK) sendiri, hanya selepas 150 tahun sejarah PAC iaitu pada 2011 baru menyaksikan wanita mengetuai jawatankuasa terpenting Parlimen yang mengawasi perbelanjaan kerajaan. Sekarang menunggu masa untuk Dr. Mahathir membentangkan usul bagi mengesahkan secara rasmi pelantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad bagi menggantikan Datuk Seri Ronald Kiandee. Bila? Sudah masuk dalam Aturan Mesyuarat hari ini dan dikatakan minggu depan bakal berlaku detik bersejarah tersebut setelah saga atau pertikaian mengenai Pengerusi PAC berlanjutan sehingga 20 hari yang bermula dengan kemasukan Ahli Parlimen Beluran itu ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dr. Mahathir pada sidang akhbar selepas menerima borang keahlian Ronald pada 15 Mac lalu menegaskan yang beliau tidak bercadang untuk menyerahkan jawatan pengerusi PAC kepada pembangkang seperti mana manifesto Pakatan Harapan (PH). Ini menyebabkan PH sedikit berkocak dengan paling lantang Nurul Izzah apabila mengambil pendirian tegas meletakkan jawatan sebagai Ahli PAC sebagai protes kepada pengekalan Ronald selain terdapat surat desakan daripada anggota PAC yang lain termasuk penyokong kerajaan. Pembangkang mengetuai PAC adalah satu bentuk reformasi kepada institusi Parlimen yang amat ditagih dalam Malaysia baharu. Lebih 70 peratus negara Komanwel sudah melakukannya dan ini tidak memerlukan wang kerajaan sebaliknya iltizam politik untuk berubah. Mungkin juga label-label yang diberikan kepada Dr. Mahathir dalam tempoh riuh rendah mengenai kedudukan Pengerusi PAC harus ditelan balik kerana beliau bukan seperti didakwa atau mungkin kini sudah berubah.-UTUSAN ONLINE











