GUA MUSANG 7 April – Seorang pencuri bukan sahaja berputih mata apabila gagal membawa lari sebuah motosikal jenis Yahama 125Z, tetapi turut kecundang di tangan pemilik rumah yang dicerobohnya awal pagi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai menceroboh kawasan rumah pemilik motosikal itu di Taman Kesedar Jaya, di sini.
Pemilik motosikal berkenaan, Mohd. Fatihi Mohd. Zubir, 28, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika bersiap untuk tidur apabila ternampak lampu motosikalnya yang terletak di hadapan rumah tiba-tiba bernyala.
Katanya, dia terus bergegas keluar dan mendapati seorang lelaki sedang leka menghidupkan enjin motosikalnya.
“Saya membuka pintu rumah dan segera menangkap lelaki terbabit. Saya turut menjerit meminta pertolongan sebelum dibantu jiran untuk mengikat kedua-dua tangan berhampiran motosikal.
“Lelaki itu cuba melarikan diri dengan keadaan tangan terikat, tetapi beberapa jiran berjaya mengejarnya sebelum ditangkap semula,” katanya.
Mohd. Fatihi berkata, dia turut menjumpai sebuah alat khas di tangan lelaki itu dipercayai digunakan untuk menghidupkan enjin motosikal.
Katanya, selepas lelaki itu berjaya ditangkap, penduduk lain yang berada di tempat kejadian menghubungi polis bagi menyerahkan lelaki tidak dikenali itu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











