KUALA NERANG – Seorang pencari besi buruk terkejut apabila mendapati objek panjang disangka tali rupa-rupanya seekor ular tedung selar yang melingkar pada alang kayu sebuah bangsal di Kampung Bukit Naka di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu berlaku ketika lelaki terbabit sedang mencari besi buruk di sekitar bangsal berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.20 malam semalam.
“Lelaki itu menyedari kehadiran ular tersebut ketika mencari besi buruk di sekitar bangsal yang menempatkan barangan terpakai.
“Ular tedung selar yang disangka tali ditemui melingkar pada alang kayu bumbung tepat di atas kepala lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata beliau, tiga anggota APM diketuai Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya yang bergegas ke lokasi mendapati reptilia itu berada antara alang kayu bangsal dan penutup enjin kereta terpakai.
“Anggota mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menangkap ular tersebut yang agresif selain berada di tempat yang sukar untuk ditangkap,” ujarnya.
Tambahnya, panjang reptilia berkenaan adalah empat meter dengan berat enam kilogram. – K! ONLINE











