Secara teknikalnya, kegawatan ekonomi didefinisikan sebagai kadar pertumbuhan ekonomi yang merekodkan kadar negatif selama dua suku tahun atau enam bulan secara berturut-turut. Ini akan berlaku apabila harga hartanah runtuh (tahap terendah).
Di Malaysia hari ini, harga saham turun pada tahap terendah beberapa minggu lalu apabila mencapai tahap 1,610. Sebelumnya, ia pernah turun pada tahap 1,630 pada Disember tahun lalu. Jadi kita perlu menunggu keruntuhan harga hartanah untuk memastikan yang negara sudah sampai ke tahap kegawatan yang nyata. Ini akan dibuktikan dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang negatif. Kemungkinannya, kegawatan akan berlaku pada akhir 2019 atau awal 2020.
Kita perlu memastikan kegawatan telah berlaku sekurang-kurangnya untuk dua suku tahun bagi mengharapkan ekonomi akan keluar dari kancah kegawatan ini. Jika keluar daripada takuk kegawatan terlalu awal, kemungkinan negara akan mengalami gejala kelok ‘W’. Ini bermakna ekonomi akan pulih sementara dan kemudian menjunam semula mengalami kegawatan kali kedua dalam tempoh pendek sebelum pulih sepenuhnya.
Ini akan menyulitkan keadaan khususnya berkait pengukuhan sentimen dan keyakinan pasaran tentang prospek ekonomi masa depan. Sebenarnya sebagai sebahagian daripada satu pusingan ekonomi yang berlaku di setiap 10 tahun, kegawatan ekonomi akan pulih sendirinya apabila pusingan itu mula menaik. Ini adalah seperti roller coaster’yang ditolak naik oleh dinamik velocity untuk bergerak ke puncak semula sebelum turun kembali.
Dalam pada itu, kegawatan berlaku apabila semua fakta ekonomi menunjukkan tahap ekonomi berada pada kedudukan amat lemah. Tahap pengeluaran menurun, tahap keyakinan menurun, kadar permintaan dan pembelian menurun, kadar eksport dan import menurun, tahap guna tenaga menurun, tahap tingkat harga menurun dan kadar pertukaran asing menurun.
Berikut adalah usaha yang biasa dilakukan untuk memangkin ekonomi agar segera keluar dari kegawatan:
- Meningkatkan keyakinan dan sentimen pasaran daripada pengguna, pengeluar, peniaga, penjaja dan paling penting penganalisis ekonomi. – Ini adalah langkah paling penting kerana sistem dan unit ekonomi semuanya dipandu oleh manusia sebagai pembuat keputusan yang bertindak balas. Manusia dipengaruhi emosi dan sentimen dalam tindak-tanduknya. Apa yang perlu dilakukan melalui pendedahan fakta dan rancangan ekonomi kerajaan bagi meyakinkan semua pihak bahawa ekonomi sedang dipandu untuk menuju tahap pemulihan dengan cepat.
- Meningkatkan tahap inovasi – Ini adalah usaha membawa pembaharuan dalam ekonomi daripada inovasi barang dan perkhidmatan. Inovasi dalam proses dan pengurusan dan Inovasi dalam pentadbiran kerajaan. Inovasi adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan dan usaha membawa pembaharuan dari negara yang lebih terkehadapan khususnya dalam sains dan teknologi.
- Meningkatkan tahap produktiviti – Ini adalah usaha untuk meningkatkan tahap kemahiran, kepakaran dan kumpulan graduan dinamik dalam bidang sains dan teknologi. Pengenalan kaedah dan teknologi baharu dalam operasi dan pengeluaran akan dapat meningkatkan tahap pengeluaran dan menurunkan kosnya.
- Meningkatkan pelaburan asing yang melibatkan tiga bentuk pelaburan – Pelaburan jangka panjang seperti pembukaan kilang baharu dan penubuhan cawangan antarabangsa baharu. Ini memerlukan insentif fizikal, kewangan dan perkhidmatan sokongan bagi menarik pelabur asing untuk menempatkan premis mereka di negara ini.
Pelaburan jangka pertengahan dalam pembiayaan projek pembangunan dan perniagaan antarabangsa. Ini memerlukan daya usaha untuk mengukuhkan balance sheet atau kedudukan kewangan negara dan syarikat-syarikat tempatan untuk membolehkan mereka mendapat pembiayaan luar bagi melaksanakan program pembangunan dan perkembangan perniagaan.
Pelaburan jangka pendek antaranya dalam pasaran sekuriti serta saham dan instrumen kewangan dengan cuba meningkatkan permintaan ke atas saham dan instrumen kewangan bagi menjadikan tahap harganya lebih tinggi. Mengubah keadaan underweight market untuk menjadi overweight market. Ini memerlukan usaha untuk menjadikan Bursa Malaysia dan saham-saham yang disenaraikan menjadi lebih menarik. Usaha untuk membersihkan imej syarikat tersenarai juga perlu dilakukan.
Meningkatkan penggunaan awam dan swasta bagi mendapatkan kesan pengganda yang besar dalam ekonomi – Penggunaan awam adalah perbelanjaan kerajaan. Pembiayaan projek pembangunan dan perbelanjaan awam dalam belanjawan kerajaan. Penggunaan swasta adalah penggunaan individu dan keluarga dan juga perbelanjaan sektor swasta
Justeru inilah masanya untuk melancarkan pelaksanaan projek pembangunan sebaik sahaja kegawatan berlaku bagi merangsang ekonomi agar segera pulih. Inilah juga masa keemasan untuk merancang memberikan ‘subsidi’ dan bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah seperti fakir dan miskin serta kumpulan B40 untuk membolehkan mereka mempunyai kuasa beli tambahan yang boleh di belanjakan bagi mewujudkan kesan pengganda serta merta.
Kesimpulannya, kegawatan ekonomi satu fenomena dalam ekonomi yang dianggap semula jadi dan berlaku sejak beribu tahun lamanya. Telah dibuktikan dalam al-Quran bersama pengajarannya. Semua ahli masyarakat perlu menghayati prinsip ini bagi mengurangkan kerisauan berkait dengan kesan kegawatan ke atas kehidupan seharian mereka.
Dalam pengurusan ekonomi, kegawatan adalah satu peluang untuk mengambil nafas panjang dan berehat bagi menyediakan kapasiti baharu bagi menangani pasaran yang telah menjadi terlalu panas (overheated) disebabkan keruncingan dan kegentingan dalam kapasiti sedia ada bagi memenuhi permintaan di pasaran.
PROF. EMERITUS DR. BARJOYAI BARDAI ialah Pensyarah Managerial Economics, Malaysia University of Science and Technology (MUST).











