SUNGAI PETANI 23 April – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membakar rumah suami kepada kekasihnya dan mengugut mencederakan lelaki itu dalam pendakwaan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Mohamad Khairul Imman Saaidin, 24, yang bekerja di sebuah kedai makan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini dan Majistret Arif Mohamad Shariff.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Khairul Imman didakwa melakukan khianat dengan api di rumah No 209B Lorong Desa Aman 3/5, Taman Desa Aman, Sungai Lalang, di sini kira-kira 5 pagi, 15 April lalu.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan mengugut, tertuduh didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap suami teman wanitanya dengan ugutan hendak menyebabkan cedera parah di alamat sama kira-kira pukul 1.30 pagi, 25 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan RM5,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei dan 21 Mei ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.
Bagaimanapun dalam satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret lain, lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki kad pengenalan teman wanitanya di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa tanpa kuasa yang sah dan sebab yang munasabah telah didapati dalam milikan satu kad pengenalan yang bukan kepunyaannya di hadapan rumah No 40, Lorong 1, Taman Desa Aman, kira-kira pukul 11.30 pagi, 15 April lalu.
Bagi kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 itu, tertuduh didenda sebanyak RM2,600 dan lima bulan penjara jika gagal membayar denda itu. – UTUSAN ONLINE











