KANGAR 28 April – Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri ditahan polis awal pagi ini, berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.
Muhammad Zamri Vinoth yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, tangkapan ke atas lelaki berkenaan dilakukan berhubung laporan polis yang dibuat ke atasnya semalam.
“Polis Perlis hanya menahannya tetapi pihak Bukit Aman yang akan menjalankan siasatan kerana laporan dibuat di Kuala Lumpur atas dakwaan menghina agama lain,” katanya.
Tangkapan ke atas Muhammad Zamri itu dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat, memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Semalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Muhammad Zamri yang didakwa menghina agama Hindu.
Muhammad Zamri didakwa membuat kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video tular di laman sosial.- UTUSAN ONLINE











