LONDON 23 April – Pemain dan penyokong dua kelab Liga Perdana Inggeris ini tidak pernah ‘sebulu’ setiap kali bercakap tentang persaingan bola sepak sesama mereka. Tetapi lain pula jadinya dalam sehari dua ini terutama menjelang saingan menuju ke penghujung musim.
Pemain Liverpool, James Milner hari ini mengumumkan akan menjadi penyokong Manchester United buat kali pertama dalam kariernya gara-gara semakin terdesak untuk melihat kelab yang diwakilinya itu muncul juara liga musim ini.
Man. United akan menentang jiran mereka, Manchester City di Old Trafford awal pagi Khamis ini dengan Milner, 33, berharap United menang pertemuan itu sekaligus membantu Liverpool mudah meraih kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1990.
“Pertama kali dalam hidup saya (berbuat demikian). Tetapi saya tidak akan menonton perlawanan itu,” katanya ketika ditanya tentang sokongan yang diberikan kepada United minggu ini.
Milner sebelum ini pernah bermain dengan tiga kelab iaitu Leeds, Manchester City dan Liverpool yang sememangnya dikenali sebagai musuh ketat dan tradisi Man. United sepanjang zaman.
Dengan bermain kurang satu perlawanan, City juga tidak boleh seri dalam perlawanan menentang United itu jika tidak mahu kehilangan status sebagai pendahulu liga ketika aksi musim ini berbaki empat perlawanan sahaja lagi. – AFP











