Pelajar ‘pergi’, guru ditimpa bala? - Utusan Malaysia

Pelajar ‘pergi’, guru ditimpa bala?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM saya meneruskan penulisan ringkas ini, elok kiranya kita bersama-sama membaca surah al-Fatihah di mana kita niatkan agar pahalanya nanti dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku baru-baru ini berhampiran Felda Lok Heng, Kota Tinggi melibatkan tiga orang pelajar yang menemui ajalnya serta dua yang lain cedera (termasuk seorang guru selaku pemandu kereta tersebut), bukan insiden baharu yang berlaku dalam dunia perguruan.

Sebagai seorang anak yang ibu bapanya bekerja sebagai seorang guru, saya merasakan kejadian ini agak dekat di hati saya. Tambahan pula, saya mempunyai ramai kawan-kawan yang bekerja sebagai guru di sekolah kerajaan mahupun swasta.

Memuatkan artikel berkaitan…
MASZLEE MALIK
MASZLEE MALIK 

Ibu saya, Sabariah Abd. Hamid sering terlibat dalam menghantar pelajarnya di sebuah sekolah Felda di Kluang, Johor untuk menyertai pelbagai program di luar sekolah.

Adik saya Aqilah Aulia juga sering membawa pelajar pendidikan khasnya dalam sebarang program P&P di luar bilik darjah serta kawan-kawan lain, yang kerap terlibat dalam aktiviti kokurikulum bersama pelajarnya di luar sekolah.

Persoalannya, apakah jaminan bahawa mereka ini (ibu dan adik serta rakan-rakan baik saya) tidak akan terlibat dengan kejadian seumpama ini? Jawapannya, tiada jaminan.

Kejadian di Kota Tinggi itu boleh berlaku kepada mana-mana guru sahaja. Pepatah Melayu menyebut “malang tak berbau” bererti kemalangan yang berlaku tidak akan dapat dijangka.

Saya merujuk kepada Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan sebagaimana berikut:

41. (1) Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang, setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan ada atau mungkin ada di jalan itu) berbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 10 dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dari RM20,000.

Akta ini bersifat umum dan terpakai dalam semua jenis kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian termasuklah kejadian yang baru sahaja berlaku baru-baru ini.

Apa yang akan berlaku kepada guru terlibat? Dia akan didakwa di mahkamah di bawah peruntukan akta ini, kemudian boleh memilih untuk mengaku bersalah atau tidak.

Jika dia mengaku bersalah menyebabkan kematian tiga orang pelajar ini, maka hukuman paling ringan yang akan diterima adalah penjara dua tahun dan denda RM5,000 (paling ringan ya).

Sekiranya guru terbabit tidak mengaku bersalah dan ingin dibicarakan, dia perlu membayar ikat jamin sekurang-kurangnya RM5,000 dan perlu hadir ke mahkamah pada setiap sesi perbicaraan yang akan berlangsung selama dua hingga tiga tahun atau lebih.

Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa “ohh…cikgu tu dah buat salah sampai anak orang mati, jadi, biarlah mahkamah tentukan nasib dia…” atau “ingat nyawa budak dah mati tu boleh ganti ke? setakat penjara apalah sangat…”

Ya adik-adik, nyawa yang dah pergi itu tiada siapa yang boleh ganti. Tapi adakah guru terlibat ingin lihat pelajarnya mati macam itu sahaja?

Adakah guru terlibat mempunyai alasan untuk mengatakan tidak kepada guru besar/pengetua sekiranya beliau diminta untuk membawa pelajar keluar dari sekolah?

Dalam hal ini, saya melihat tindakan pantas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai memberi kelegaan kepada saya.

Beliau mengarah agar Pejabat Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memberi bantuan kepada guru terlibat (termasuk bantuan kos guaman) yang akan dihadapi kelak.

Beliau juga telah meminta Kementerian Pendidikan agar menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua pekeliling yang berkaitan isu ini.

Tindakan ini jelas memperlihatkan kematangan Dr. Maszlee sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan 408,764 orang guru di negara ini.

Saya yakin dan percaya bahawa bukan bilik rehat khas di sekolah yang para guru idamkan, tetapi pembelaan dan pertolongan dalam menghadap kesusahan sebegini amat melegakan.

PENULIS ialah CEO Sportflex Media Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini