PUTRAJAYA 7 April – Persatuan Kanu Malaysia (Masca) telah menggerakkan langkah awal bagi memastikan jaguh mereka tidak pulang tangan kosong sewaktu kempen Sukan SEA 2019 di Manila pada November ini dengan memilih 40 terbaik dalam kalangan 176 atlet.
Selain persediaan menghadapi Sukan SEA 2019, pemilihan yang dijalankan dalam satu ujian yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, semalam turut bertujuan bagi membentuk pasukan menghadapi tiga lagi temasya iaitu Sukan SEA 2021, Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Asia 2022.
Presiden Masca, Datuk Seri Megat D’ Shariman Zaharudin berkata, daripada jumlah tersebut 10 adalah untuk kanu (pecut) dan 30 lagi bagi lumba bot tradisional (TBR) melibatkan dua pasukan lelaki serta wanita.
“Tiga atlet atau pasukan yang berkedudukan teratas dan melakukan catatan masa terbaik dalam sesi ujian pemilihan hari ini secara automatik akan terpilih. Sesi ini juga jadi satu daripada sirkit kebangsaan Masca pada tahun ini.
“Ujian hari ini turut melibatkan 144 peserta bagi TBR dan 32 bagi kanu pecut yang mewakili badan gabungan mahupun ahli bersekutu Masca,” katanya. – UTUSAN ONLINE











