Pasfa tolak pindaan peraturan Pertubuhan Peladang - Utusan Malaysia

Pasfa tolak pindaan peraturan Pertubuhan Peladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 28 April – Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) yang mempunyai 64,000 ahli menolak pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 berkuat kuasa 1 Mei ini yang disifatkan membelakangkan prinsip demokrasi diamalkan dalam tadbir urus Pertubuhan Peladang.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas Pasfa dengan semua 22 pemegang saham iaitu 22 PPK di seluruh negeri yang melibatkan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan berkenaan dan Pengerusi-pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini hari ini.

Pindaan tersebut berkaitan langsung dengan Peraturan 35 iaitu pemilihan dan pelantikan AJP PPK, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Pasfa, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, pindaan peraturan itu secara terang-terangan menafikan hak pemegang saham Pertubuhan Peladang khususnya dalam pelantikan Jemaah Pengarah yang bertangunggjawab dalam mentadbir pertubuhan tersebut.

“Pindaan ini bercanggah dengan Perlembagaan PPK, PPN dan Nafas yang menjadi garis panduan dalam melaksanakan tadbir urus di semua peringkat Pertubuhan Peladang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas berkenaan.

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh ahli yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima ahli lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda dan seorang lagi merupakan Peladang Nita.

Bagi AJP PPN pula, empat ahli dipilih melalui mesyuarat agung tahunan manaka lima lagi ahli dilantik oleh menteri dan pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Lantikan AJP Nafas pula, lima ahli dipilih dalam mesyuarat agung tahunan dan enam ahli dilantik oleh menteri manakala pengerusi dinamakan oleh AJP dalam kalangan mereka yang diluluskan oleh menteri.

Warta yang dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub itu akan dikuatkuasakan pada 1 Mei ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini