KUALA LUMPUR – Pemansuhan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) tidak akan menjejaskan operasi agensi keselamatan itu sebaliknya sebagai satu langkah penstrukturan semula jabatan-jabatan di bawah PDRM.
Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar berkata, kehadiran dua unit khas yang telah ditubuhkan polis sebelum ini iaitu Komando VAT69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) mampu untuk menangani sebarang aktiviti jenayah terancang di negara ini.
“Mereka (VAT69) telah dilatih khusus sejak penubuhannya pada tahun 1969 sebagai sebuah pasukan khusus yang bercorak ketenteraan dan mempunyai ilmu medan perang bagi mengekang dan membanteras sebarang kegiatan insurgensi.
“UTK pula yang ditubuhkan pada bulan Ogos 1975 dan berupaya membanteras jenayah terancang bersenjata api termasuk penyeludupan dadah serta penculikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, ketiga-tiga pasukan khas itu akan dimansuhkan sebagai satu langkah penambahbaikan yang dilakukan PDRM terhadap jabatan-jabatan di Bukit Aman.
Keputusan pemansuhan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun tahun lalu yang mahu penyusunan semula jabatan polis dilakukan.
STING, STAGG dan Stafoc ditubuhkan pada 2014 ketika PDRM berada di bawah kendalian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
STAGG ketika itu berperanan untuk mencegah kebocoran maklumat operasi di peringkat daerah dan negeri, menangkap ketua-ketua kongsi gelap manakala STING pula berperanan membendung aktiviti pengedaran dadah.
Tambah Mior Roslan, sekiranya kes tidak melibatkan senjata seperti perjudian haram tidak berlesen, maka polis boleh menghantar pegawai penyiasat terlebih dulu untuk meninjau dan UTK boleh digerakkan sekiranya melibatkan penjenayah bersenjata api.
“Saya yakin pemansuhan tiga unit itu tidak akan menjejaskan keselamatan negara kerana mereka (VAT69 dan UTK) mempunyai keupayaan serta terlatih bagi menangani sebarang situasi yang boleh mengancam keselamatan orang ramai dan negara,” jelasnya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











