DRAMA rantaian berkonsep cinta, keagamaan dan kekeluargaan, Nur menyapu enam daripada lapan kategori anugerah yang dipertandingkan dalam kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin.
Drama terbitan Radius One tersebut mencatatkan kemenangan dalam kategori Penulis Skrip Pilihan, Pengarah Pilihan, Pasangan Pilihan, Antagonis Pilihan, Aktor Pilihan dan Drama Pilihan.
Pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin merangkul dua anugerah menerusi Pengarah dan Penulis Skrip Pilihan, manakala pelakon utama drama itu Syafiq Kyle yang menjayakan watak sebagai Ustaz Adam turut membawa pulang dua anugerah menerusi Pasangan Pilihan serta Aktor Pilihan.
Aktor berkaliber, Azhan Rani pula merangkul trofi Antagonis Pilihan manakala Amyra Rosli sekadar berpuas hati dengan trofi Pasangan Pilihan yang dikongsi bersama Syafiq.
Menyifatkan kejayaan Nur sebagai impak kerjasama semua pihak yang menjayakan naskhah berkenaan, Shahrulezad sebenarnya tidak menyangkakan karya masih menerima sokongan padu peminat biarpun ditayangkan setahun lalu.
Menganggap setiap peminat yang mengangkat kemenangan Nur pada malam tersebut sebagai keluarga besarnya, pengarah yang mesra disapa sebagai Ijat turut berpendapat, sokongan netizen menjadikan Nur masih relevan sehingga kini.
“Sudah hampir setahun drama Nur ditayangkan dan saya bernasib baik apabila drama ini terus diingati peminat. Saya mengganggap kelebihan ini sebagai rezeki dari Allah yang mengizinkan keluarga Nur menerima anugerah pada malam ini.
“Saya juga berterima kasih kepada para pelakon yang tanpa henti mempromosikan drama ini dalam medium sosial masing-masing, terutama perkongsian sepanjang proses di belakang tabir yang membuatkan ramai penonton di luar sana terasa seperti sebahagian daripada pembikinan drama ini,” katanya usai menerima anugerah pada malam berkenaan.
Kemenangan paling manis sudah tentu milik Azhan Rani yang kali pertama memenangi anugerah bersandarkan undian peminat menerusi watak Ustaz Syed Hamadi.
Merendah diri dengan kemenangan tersebut, Azhan tidak pernah meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada pelakon popular arena seni tempatan.
Sebaliknya menurut Azhan, kemenangan tersebut adalah rezeki kerana berada dalam kelompok pelakon popular selain naskhah yang hebat.
“Kemenangan pada malam ini adalah untuk anda semua supaya jangan sesekali merasakan tanpa rupa, anda tidak boleh berjaya. Sentiasa berusaha bersandarkan bakat dan jangan mengalah,” tegasnya.
Saling berkongsi anugerah kategori Pasangan Pilihan, Syafiq Kyle dan Amyra Rosli sudah terbiasa dengan gelaran Ustaz Adam dan Nur ketika bertemu dengan peminat.
Syafiq yang turut merangkul anugerah Aktor Pilihan tergamam dengan kemenangan yang diterima. Dia hanya mampu menzahirkan penghargaan terhadap peminat setia menyokong kariernya.
“Mewakili seluruh keluarga Nur saya mengucapkan terima kasih terhadap pengiktirafan ini. Apatah lagi ketika Nur 2 sedang ditayangkan, kemenangan keluarga ini amat berharga,” jelasnya.
Amyra yang gagal merangkul trofi Aktres Pilihan tidak kecewa dengan kekalahan tersebut, sebaliknya bersyukur fenomena Nur masih dirasai sehingga kini.
“Ke mana sahaja saya pergi, peminat telah terbiasa memanggil saya dengan panggilan Nur. Alhamdulillah, Nur menjadi fenomena dan mesej yang ingin kami sampaikan menerusi drama sampai kepada mereka. Saya sangat berterima kasih kepada netizen,” luahnya.
Kejutan Janna Nick
Tatkala ramalan umum berpendapat Amyra dengan mudah merangkul trofi Aktres Pilihan, ternyata jangkaan tersebut meleset apabila Janna Nick utuh mempertahankan kedudukannya dalam kategori tersebut.
Kali ketiga menjulang trofi Aktres Pilihan DFKL sejak tahun 2016, Janna tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut menumpaskan pesaing terdekatnya, Amyra.
“Rasanya pada malam ini semua bersetuju bahawa Nur akan membolot kesemua anugerah. Saya tidak menjangkakan kemenangan pada malam ini dan sempat mengucapkan tahniah kepada Amyra kerana yakin dia akan menang.
“Pada pendapat saya kemenangan ini bukan sahaja atas hasil kerja sebagai pelakon, sebaliknya peminat yang bertungkus-lumus melakukan undian demi memastikan trofi ini kekal dalam milikan saya,” katanya.
Janna turut menamakan Amyra sebagai pesaing terdekatnya tahun ini.
“Sejujurnya, saya meminati dan mengikuti drama berkenaan. Nur bukan sahaja menerima sentuhan pengarah yang genius malah didokong oleh pelakon terbaik.
“Sudah tentu saya menjangkakan kemenangan milik Amyra dan produksi Nur mengungguli setiap kategori pada malam ini,” jelasnya yang menggondol kategori Aktres Pilihan menerusi lakonan cemerlangnya sebagai isteri malang drama Semerah Cinta Humairah.
Turut membuat kejutan ialah kemenangan Haqiem Ruslie dan Aman RA yang merangkul anugerah Lagu Pilihan menerusi lagu Jatuh Bangun sekali gus mengenepikan lagu epik nyanyian Misha Omar bertajuk Sampai Bila serta Tak Pernah Hilang nyanyian Amylea bersama Kaer.
Kategori Drama Pendek Pilihan pula dimenangi oleh Orang Kita dan Nelayan Siblings, manakala Drama Rantaian Bahasa Cina menjadi milik karya berjudul My Sensei Nyonya.
DFKL memasuki musim keenam penganjuran bertemakan #positifselalu dikendalikan oleh pengacara Awal Ashaari.
Biarpun setahun sudah berlalu, naskhah Nur meneruskan fenomena apabila mencatatkan kemenangan besar dengan merangkul enam trofi dalam penganjuran DFKL 2019.











