PUTRAJAYA 26 April – Di sebalik manfaatnya memberi perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta rakyat, masih terdapat cakap-cakap yang mempersoalkan usaha kerajaan melaksanakan skim mySalam.
Antara persoalan dibangkitkan adalah mengapa Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dipilih berbanding syarikat-syarikat insurans lain di dalam negara ini?
Menjelaskan perkara tersebut, Pengarah Belanjawan Negara di Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata, Great Eastern memberikan dana permulaan sebanyak RM2 bilion kepada tabung amanah mySalam untuk melaksanakan skim mySalam.
Tabung amanah tersebut yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia diwujudkan bagi tujuan mengurus sumbangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful kepada skim itu.
Ujarnya, syarikat itu memberikan dana tersebut sebagai gantian kerana di bawah peraturan pelesenan insurans semasa, syarikat insurans asing tertentu dikehendaki melepaskan 30 peratus daripada pegangan sama mereka kepada pelabur tempatan.
“Di bawah peraturan Bank Negara Malaysia, setiap syarikat asing dikehendaki menjual 30 peratus kepada pelabur tempatan.
“Akan tetapi sehingga kini, mereka tidak dapat berbuat demikian antaranya kerana kekurangan pelabur tempatan yang berminat dan mampu membelinya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, Johan Merican menambah, kerajaan telah bersetuju meluluskan cadangan alternatif untuk syarikat insurans yang berkenaan memberi sumbangan kepada dana mySalam sebagai gentian kepada melepaskan 30 peratus daripada pegangan saham mereka kepada pihak-pihak lain supaya keuntungan mereka tetap dapat disalurkan kepada rakyat.
Malah jelas beliau lagi, Great Eastern tidak mengaut sebarang keuntungan langsung daripada pelaksanaan skim insurans takaful tersebut.
“Jika dalam tempoh lima tahun pertama, tuntutan dibuat individu kurang daripada premium dibayar, jumlah lebihan akan dilaburkan balik ke dalam dana. Maka ia tidak boleh raih keuntungan tetapi masa sama, jika melebihi premium dibayar, mereka terpaksa tanggung sekali gus pada masa sama berpotensi rugi,” katanya.
Jelas Johan Merican, ia adalah situasi menang-menang berbanding 30 peratus pegangan saham tidak dapat dijual, lebih baik nilainya disalurkan kepada rakyat.
“Malah kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan kerana semua dana disumbangkan oleh syarikat-syarkat insurans seperti Great Eastern Holdings.
“Isu mengutamakan syarikat tertentu dalam usaha itu tidak berbangkit kerana sumbangan RM2 bilion itu secara langsung memberi manfaat kepada rakyat, malahan syarikat-syarikat insurans dan sumber-sumber lain dijangka dapat menyumbang untuk memastikan kemampanan dana ini dalam jangka masa panjang,” katanya.











