MSAM 2019 tarik 163,000 pengunjung - Utusan Malaysia

MSAM 2019 tarik 163,000 pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Sebanyak 163,000 pengunjung membanjiri Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 sepanjang seminggu ia berlangsung bermula 19 April lalu di Aman Jaya Mall, Sungai Petani, Kedah.

Kebanyakan pengunjung yang hadir adalah dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Presiden Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad Said berkata, sepanjang penganjuran, banyak program interaktif diadakan menyasarkan untuk mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan memperluaskan pengetahuan kewangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pihaknya juga menerima maklum balas positif berhubung pameran yang dijalankan.

“Jumlah pengunjung yang ramai menunjukkan tahap minat rakyat Malaysia dalam pelaburan peribadi dan saya percaya program dan aktiviti dijalankan sepanjang minggu itu memberi kesan dalam meningkatkan pengetahuan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada pameran itu, PNB turut melancarkan aplikasi MyASNB yang menyediakan kemudahan kepada para pemegang saham unit amanah untuk mengakses akaun masing-masing menerusi telefon pintar.

Selain itu, aplikasi itu juga membenarkan pemegang saham untuk membuat pelaburan secara langsung daripada bank masing-masing menerusi sistem FPX selain mengeluarkan butiran penyata akaun.

Tambah Abdul Rahman, Laman ASNB turut disediakan yang direka seperti cawangan pejabat ASNB lengkap dengan perkhidmatan kaunter bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan termasuk membuka akaun baharu, perancangan pelaburan, kemas kini akaun dan pendaftaran portal MyASNB.

Katanya, pada hari terakhir pameran, tiga pemenang hadiah utama menerusi e-peraduan turut diumumkan iaitu Norasyikin Ahmad, 35 dari Pulau Pinang yang menerima hadiah utama berupa sebuah kereta Ford Ranger 2.2L XLT manakala Nasir Mohd. Noor, 40 dari Kedah membawa pulang Toyota Vios 1.5G dan motosikal Yamaha R25 pula dimenangi Nora Shakila Halim, 32, dari Kedah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini