MOF: Dana pinjaman mudah RM550 juta kepada pengusaha sawit - Utusan Malaysia

MOF: Dana pinjaman mudah RM550 juta kepada pengusaha sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 April – Kerajaan akan menyediakan dana pinjaman sebanyak RM500 juta bagi penanaman semula sawit kepada pekebun kecil persendirian dengan mengenakan kaedah faedah rendah pada hanya kadar dua peratus setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, di samping itu kerajaan juga akan menyediakan dana pinjaman mudah RM50 juta dengan pada kadar faedah dua peratus setahun bagi membiayai input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih disahkan serta berkualiti dan terkini.

“Usaha ini bersama dengan penanaman semula bakal meningkatkan produkviti dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Selain itu, usaha pinjaman mudah itu adalah diharapkan dapat membantu di dalam meringankan beban kewangan mereka yang ingin melaksanakan penanaman semula sawit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Guan Eng menambah, selain kedua-dua inisiatif berkenaan, kerajaan akan menambah dana bantuan sehingga RM100 juta kepada pengusaha sawit di dalam pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) demi mengalakkan lebih ramai penanam mematuhi standard ditetapkan menjelang 31 Disember 2019.

Katanya, kerajaan sebelum ini menerusi Belanjawan 2019 telah memperuntukkan dana RM30 juta untuk usaha tersebut.

“Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan daripada 70 peratus yang sedia ada bagi pengusaha sawit mempunyai saiz penanaman sederhana iaitu antara 40 hingga 1,000 hektar.

“Kerajaan juga menambah bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 sehingga 50 peratus dengan insentif ini akan dibayar setelah pengusaha berjaya mendapat pensijilan,” katanya.

Kata Guan Eng, kerajaan bersetuju bagi menambahbaik bantuan kepada pengusaha sawit terutamanya pekebun kecil persendirian atas dasar keperihatinan kerajaan ekoran keadaan semasa yang dihadapi mereka susulan harga komoditi minyak sawit yang rendah.

“Ini sejajar komitmen kerajaan untuk menjamin kebajikan mereka di samping ingin mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama di dunia.

“Selain itu, kita amat mengalu-alukan pengiktifan sawit negara ini di peringkat antarabangsa melalui pemeteraian memorandum persefahaman antara Malaysia dan China yang melibatkan pembelian tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun iaitu 2019 hingga 2023,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini