TAWAU 23 April – Tindakan berani remaja lelaki menyeludup keluar pelbagai barangan runcit serta menumpangkan seorang wanita ke Indonesia membawa padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau di perairan Sungai Melayu, Sebatik, di sini semalam.
Dalam tangkapan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, remaja berusia 15 tahun itu ditahan selepas bot peronda maritim yang melakukan rondaan di kawasan terbabit terserempak dengan bot dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati remaja serta wanita berusia 37 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Juragan remaja ini turut membawa muatan 264 kilogram gula pasir, 120 kilogram minyak masak, 84 kilogram tepung gandum serta dua tong gas memasak tanpa permit sah untuk membawa kesemua barangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, kedua-dua tahanan serta barangan rampasan yang keseluruhannya bernilai RM26,000 dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Tawau untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di Tawau tanpa kompromi dengan mana-mana pihak bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, orang ramai disaran dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak Maritim Malaysia jika terdapat aduan atau kecemasan dengan menghubungi pusat operasi maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999,” katanya.-BERNAMA











