JOHOR BAHRU 7 April – Seramai 120 mangsa yang terkesan akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi ekoran bencana pencemaran berkenaan yang berlaku pada bulan lalu.
Peguam yang mewakili mangsa-mangsa berkenaan, Kamarudin Ahmad berkata, saman tuntutan ganti rugi itu akan dibuat pada Jun depan di atas kecuaian pihak berkuasa terlibat serta pemilik kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran terbabit.
Jelasnya, tuntutan tersebut akan dilakukan setelah pihaknya memperoleh kesemua maklumat berkenaan termasuk laporan kesihatan secara terperinci terhadap anak guamnya.
“Tuntutan ganti rugi ini adalah tertumpu kepada kos perbelanjaan dari segi perubatan, perjalanan dan pemeriksaan kesihatan yang perlu ditanggung mangsa.
“Kita akan membuat tuntutan daripada pihak yang sudah dikenal pasti bertanggungjawab bermula dari kerajaan negeri diikuti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan kilang yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini semalam.
Seramai 120 mangsa yang hadir membuat laporan polis tersebut antaranya adalah wakil kepada penduduk di sekitar Taman Pasir Putih, Pasir Gudang Baru, Cahaya Baru dan Taman Scientex.
Kamarudin memberitahu, tuntutan ganti rugi yang dibuat itu juga mengambil kira kesan jangka panjang yang mungkin dialami mangsa sejak kes pencemaran toksik itu melanda bulan lalu.
“Saya ada berjumpa dengan satu keluarga yang anaknya mengalami masalah urat saraf hingga kakinya tidak boleh jalan. Jadi, kita bimbang kesan jangka panjang disebabkan pencemaran itu dan sebab itu kita akan membuat saman tuntutan ganti rugi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











