Lima penyeludup gagal seludup 328kg daun ketum - Utusan Malaysia

Lima penyeludup gagal seludup 328kg daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG – Lima penyeludup bertindak mencampakkan 11 guni dan dua bungkusan plastik berisi 328 kilogram (kg) daun ketum selepas terserempak dengan anggota tentera dalam dua kejadian berasingan di kawasan semak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini semalam.

Panglima Enam Briged, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kejadian pertama disedari anggota ronda Empat Rejimen Sempadan (4 RS) kira-kira pukul 7 pagi.

“Pasukan ronda diketuai Sarjan Sarman Mohamad terserempak dengan empat orang awam dipercayai warga tempatan sedang menunggang motosikal dengan membawa beberapa guni.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua penunggang motosikal itu kemudian dilihat mencampakkan semua guni yang dibawa dan meninggalkan motosikal masing-masing sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui lapan guni dan dua plastik lutsinar berisi daun ketum seberat 296kg dianggarkan bernilai RM28,120 yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.

“Kita turut merampas empat buah motosikal yang digunakan penyeludup tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, ujarnya, rampasan kedua dilakukan di lokasi berhampiran kira-kira pukul 3 petang hari yang sama membabitkan tiga guni berisi 32 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM3,230.

“Seorang penyeludup yang menunggang motosikal juga bertindak mencampakkan guni mengandungi daun ketum sebelum memecut motosikal untuk melarikan diri bagi mengelak ditahan anggota tentera,” katanya.

Tambahnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini