KAHERAH – Liga Arab berikrar untuk membayar AS$100 juta (RM413 juta) sebulan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagi mengisi kekurangan dana selepas Israel menyekat pemindahan hasil cukai sejak awal tahun ini.
“Kami mengesahkan bahawa negara-negara Arab akan menyokong bajet negara Palestin dan menentang tekanan politik serta kewangan yang dihadapinya,” kata Liga Arab dalam satu kenyataan kelmarin selepas mengadakan sidang di Kaherah.
Israel mengutip cukai bagi pihak PA tetapi menyekat pemindahan hasil cukai tersebut sebanyak AS$138 juta (RM570.2 juta) pada Februari lalu dengan menuduh kerajaan Palestin membuat bayaran kepada keluarga tahanan politik yang dipenjara kerana melancarkan serangan terhadap Rejim Zionis.
Langkah Liga Arab itu dibuat ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersiap sedia memperkenalkan apa yang dikenali sebagai Perjanjian Abad Ini bagi mencapai perdamaian antara kepimpinan Palestin dan Israel dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Bagaimanapun, kepimpinan Palestin menyatakan bahawa pihaknya tidak lagi mempercayai AS sebagai broker keamanan Asia Barat.
Ia susulan beberapa tindakan kontroversi Trump termasuk mengiktiraf kota Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Liga Arab menyatakan bahawa perjanjian tajaan Washington itu ‘tidak akan berjaya mencapai keamanan menyeluruh dan berkekalan di Asia Barat’.
Pelan damai baharu tersebut yang diterajui menantu Trump, Jared Kushner itu turut dicurigai kepimpinan Palestin kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Rejim Zionis merampas Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmuqaddis Timur semasa perang Arab-Israel pada tahun 1967. – AFP











