IPOH – Laporan hasil pendengaran awam terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berhubung isu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, Julai depan.
Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, laporan pendengaran awam yang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak pada bulan lepas perlu dibentangkan dalam DUN terlebih dahulu untuk diluluskan atau diterima pakai.
“Syor-syor oleh mana-mana jawatankuasa akan diputuskan DUN. Keputusan muktamad tentang apa-apa isu perlu dibuat di dewan bukan oleh jawatankuasa. Jawatankuasa hanya untuk menyiasat dan membuat pendengaran sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Koo Ham berkata, PAC telah menggunakan budi bicaranya untuk menjalankan prosiding pendengaran awam itu secara tertutup selepas Zambry menolak untuk hadir jika ia dikendalikan secara terbuka.
“Saya difahamkan PAC membuat keputusan itu apabila Zambry membantah pendengaran secara terbuka kerana tidak mahu pendengaran awam itu disensasikan media atau ‘perbicaraan oleh media’,” katanya. – Bernama











