LONDON 21 April – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kehidupannya sama seperti orang yang sedang bertapa dengan pasukannya semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool kini di tangga kedua dengan 85 mata, ketinggalan satu mata di belakang penyandang juara, Manchester City dan sedang bersaing merebut kejuaraan yang kali terakhir diraih pada 1990.
Liverpool juga sedang bersiap sedia berdepan aksi separuh akhir Liga Juara-Juara berdepan Barcelona, bulan hadapan.
“Saya tidak keluar rumah langsung, selain tugasan bola sepak.
“Kenapa saya perlu keluar? Saya masih ada bekalan seluar jeans yang boleh dipakai untuk 20 tahun lagi. Jadi saya tiada masalah. Saya tidak pergi ke kedai. Saya tidak perlu melakukannya.
“Saya dapat bayangkan suasana di bandar ini sangat bagus ketika ini tapi saya tak perlu mendengarnya dan saya tak perlu melihatnya.
“Namun dalam bola sepak, saya sendiri sebagai seorang penyokong kuatnya, saya tahu apa akan berlaku ketika pasukan saya sedang harungi ketika ini.
“Saya boleh bayangkan orang ramai akan keluar meraikan kejayaan, bercakap mengenainya, tetapi kami bukan sebahagian daripada topik itu.
“Saya suka situasi yang kami alami ketika ini, ia sangat menarik, tetapi sudah pasti kami perlu membuktikannya dalam setiap perlawanan. Ia semuanya sangat menarik, tetapi ia belum sempurna, jadi kami perlu terus bekerja keras,” kata Klopp.
Liverpool mengekalkan rentak cemerlang dengan 17 perlawanan tanpa kalah termasuk meraih kemenangan kelapan berturut-turut ketika menewaskan Porto 4-1 dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara.-AGENSI











