TIGA tahun lalu dia pernah diberi ujian besar apabila bayinya disahkan meninggal dunia dalam kandungan.
Ketika itu pelakon Nadiya Nisaa sudah memasuki trimester ketiga atau lebih tepat usia kehamilan telah mencecah sembilan bulan.
Meskipun waktu itu sukar untuk dia menerima hakikat bayi keduanya itu sudah tidak bernyawa dan dia mulai reda dengan suratan takdir yang tertulis buatnya.
Dua tahun dia berehat mengumpul semangat dan kekuatan, pelakon filem Terbaik Dari Langit kembali berbadan dua dan tanggal 1 Januari lalu dia selamat melahirkan bayi ketiga yang dinamakan Aminah Rose.
“Selepas dua tahun baru saya rancang nak tambah zuriat dan untuk kehamilan ini memang saya tak kongsikan dengan sesiapa.
“Sehingga perut sudah mulai membesar, barulah saya bercerita. Saya tidak mahu perkara buruk berlaku untuk kandungan ketiga.
“Setiap hari saya berdoa agar bayi dan saya selamat serta dilindungi Allah. Ada juga saya rujuk pada rakan-rakan yang lebih berilmu, mereka kongsi doa-doa yang boleh diamalkan sepanjang mengandung.
“Dari awal hamil sehingga selesai berpantang, saya memang tidak ambil sebarang kerja seni. Saya nak rehat dan mahu fikirkan perkara-perkara positif sahaja,” ulasnya ketika hadir di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, baru-baru ini.
Tambah pelakon berusia 33 tahun itu, dia turut mengakui kesan trauma tiga tahun lalu sedikit sebanyak turut terbawa-bawa sehingga ke dewan bersalin tatkala dia mahu melahirkan Aminah.
“Saya membayangkan bagaimana kalau kali ini Tuhan ambil anak saya lagi? Kalau bukan anak saya diambil, mungkin dia akan ambil nyawa saya?
“Setiap kali saya pandang Omar, saya terdetik untuk terus kuat dan fikir yang baik-baik sahaja.
“Sampaikan waktu nak bersalinkan Aminah, saya tak bagi ahli keluarga datang, hanya suami yang teman. Saya tak mahu orang ramai datang melawat.
“Bayangkanlah bagaimana kesan itu masih saya rasai. Waktu anak kedua dilahirkan, dia seperti bayi biasa yang seberat tiga kilogram.
“Tetapi waktu saya pegang, dia memang sudah tidak bernyawa,” kongsinya sayu.











