PUTRAJAYA 8 April – Kementerian Pendidikan tidak pernah menafikan hak murid mempelajari subjek Bahasa Tamil di sekolah-sekolah menengah kebangsaan.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu berkata, pihaknya tidak pernah melaksanakan dasar mendiskriminasi pendidikan mana-mana bahasa ibunda dalam sistem pendidikan di Malaysia sebaliknya sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda dilaksanakan dengan berkesan dan dengan penuh berkualiti.
“Kementerian tidak pernah menafikan hak murid kaum India untuk mempelajari bahasa Tamil di peringkat menengah.
“Mata pelajaran bahasa Tamil ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan kepada murid yang berminat untuk mempelajari bahasa tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),” katanya.
Kenyataan itu merujuk satu laporan sebuah akhbar berbahasa Tamil baru-baru ini bertajuk ‘Mengapakah Bahasa Tamil dipinggirkan’.
Menurut kenyataan itu, data murid yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa Tamil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 2012 telah meningkat dari 8,107 calon kepada 9,479 calon pada 2018.
Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jelasnya, bilangan murid yang mengambil atau menduduki peperiksaan Bahasa Tamil STPM menurun daripada 731 calon pada 2012 kepada 686 calon pada 2018.
“Akta Pendidikan 1996 mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara berkaitan dengannya yang dilaksanakan melalui sistem pendidikan kebangsaan sebagai usaha memenuhi keperluan negara, memupuk perpaduan, pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Selaras dengan itu, dasar-dasar pendidikan yang digubal oleh kementerian sentiasa memastikan semua sekolah dan murid tanpa mengira jenis sekolah serta lokasi mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang,” menurut kenyataan itu lagi. – UTUSAN ONLINE











