KUALA LUMPUR 8 April – Majikan pekerja-pekerja yang terlibat nahas kemalangan bas di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diminta untuk menguruskan kebajikan kesemua mangsa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, majikan juga diminta untuk menguruskan mangsa yang meninggal dunia termasuk menghantar pulang mayat mereka.
“Setakat ini, mayat pemandu bas berkenaan yang juga seorang lelaki tempatan telah dituntut oleh keluarga mereka petang tadi.
“Majikan juga perlu berhubung dengan pihak kedutaan mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia untuk urusan membawa pulang mayat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa kemalangan di Hospital Serdang, dekat sini hari ini.
Menurut Anthony, kebanyakan mangsa yang sedang di rawat di hospital berada dalam keadaan trauma dan dan terkejut dengan keadaan yang menimpa mereka.
“Kebanyakan mereka masih berada dalam keadaan trauma dan saya sendiri tidak sampai hati untuk bertanya lanjut mengenai apa sebenarnya yang terjadi,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11.10 malam semalam, 12 dilaporkan maut akibat kemalangan tersebut termasuk pemandu bas berkenaan.
Ketika kejadian, bas tersebut dipercayai membawa 43 penumpang dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan sedang dalam perjalanan menuju ke MASkargo. – UTUSAN ONLINE











