SEKALIPUN baharu setahun jagung dalam sukan berbasikal, namun potensi Noor Hidayah Yaakub jika digilap mampu memberikan impak besar terhadap arena negara.
Mula menceburi dan bergiat aktif dalam sukan tersebut pada 2017, Noor Hidayah yang menamatkan saingan di No. 7 dalam acara kejar-mengejar berpasukan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 Perak, memasang azam untuk membarisi skuad kebangsaan satu hari nanti.
Selain berhasrat mewakili Malaysia, pelumba berusia 16 tahun itu turut berazam memperbaiki kedudukan di Sukma edisi lalu dengan menyasarkan pingat emas pada temasya akan datang di Johor tahun depan.
“Saya ingin memperbaiki kedudukan dari No. 7 ke kedudukan podium, kalau boleh nak dapatkan emas.
“Saya menyertai buat kali pertama di Sukma Perak tahun lepas, jadi saya ingin menggunakan pengalaman saya untuk berlumba di Johor nanti,” katanya yang meminati pelakon Mira Filzah.
Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Kulim itu menyifatkan tentangan sengit yang bakal dihadapinya di Sukma 2020 Johor adalah dari pasukan Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang.
Mengimbau kembali perjalanannya sehingga boleh menceburi sukan itu, Noor Hidayah berkata, dia mula meminatinya selepas salah seorang gurunya membuka ruang kepada pelajar untuk membuat percubaan dan pemilihan.
“Saya mula menceburi sukan ini bersama kawan saya di sekolah. Waktu itu cikgu saya datang buat lawatan dan mencari pelajar yang ingin mencuba sukan berbasikal. Selepas itu, saya pun cubalah nasib. Alhadulillah terpilih
“Mula-mula main basikal, mak ayah memang tak bagi, tapi lama kelamaan, mereka terima sebab boleh nampak bakat dan potensi saya untuk menjadi seorang atlet,” katanya yang berkebolehan dalam pelbagai jenis disiplin basikal seperti trek, lebuh raya dan BMX.
Ketika ditanya, apakah sukan pilihannya jika tidak terlibat dalam arena berbasikal, Noor Hidayah berkata, dia ingin menjadi seorang pelari jarak jauh 1,500 meter.











