PUTRAJAYA – Jawatankuasa Bertindak bagi Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield hari ini menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner yang menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pasukan petugas kuil itu turut menarik balik permohonannya bagi penangguhan inkues itu sementara menunggu rayuannya bagi penangguhan inkues itu selesai.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara menarik balik permohonannya untuk membatalkan rayuan jawatankuasa kuil berkenaan.
Peguam M.Visvanathan yang mewakili jawatankuasa bertindak kuil berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April tahun ini.
Beliau berkata, afidavit itu yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang. – Bernama











