LONDON 28 April – Mauricio Pochettino menggesa pemainnya segera bangkit daripada kekalahan 1-0 di tangan West Ham menjelang pertemuan Ajax dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara bertemu Ajax, Selasa ini.
Michail Antonio menjadi pemain lawan pertama menjaringkan gol di stadium baharu Tottenham yang turut menyaksikan harapan Spurs berada dalam empat kelompok teratas semakin sukar.
Kekalahan tersebut mencetuskan kebimbangan Pochettino dan berharap pemainnya segera melupakan kekalahan itu dan fokus terhadap pertemuan Ajax.
“Saya kecewa kerana kami mengundur ke belakang. Kami mahukan kemenangan tiga mata untuk mengubah kedudukan dan beraksi dalam Liga Juara-Juara dengan atmosfera positif.
“Pemain perlu mengubah perasaan mereka dengan segera. Selepas menang ke atas Brighton, Selasa lalu, semangat pemain berada dalam keadaan baik, kami menghadapi musim yang menakjubkan namun kekalahan hari ini (semalam) menyukarkan keadaan kami,” kata Pochettino.











