KUALA LUMPUR 22 April – Majlis Belia Negeri Johor mengingatkan rakyat supaya tidak lagi membangkitkan isu sekutu di antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Presidennya, Md. Salleheen Mohamad berkata, ini kerana semua yang terpilih adalah dari parti dan kerajaan yang sama.
Beliau malah memberitahu, ini adalah masa untuk hentikan politik dalaman dan menumpukan kepada janji kepada rakyat.
Kepada pihak-pihak yang berkenaan, jangan lagi bangkitkan isu team Muhyiddin atau team Istana. Dengan selesainya isu ini, sebarang persepsi dan prasangka perlulah dihentikan segera bagi membolehkan kepemimpinan kerajaan negeri yang baharu dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
“Semua pihak tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang mestilah menghentikan sebarang perbalahan akibat polemik yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab agar kepimpinan baharu ini dapat fokus di dalam usaha merangka dan melaksanakan program yang memberi manfaat kepada rakyat di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.
Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Exco mengikut portfolio masing-masing adalah Aminolhuda Hassan, Dr. Dzulkefly Ahmad, Liow Chai Tung, Jimmy Puah Wee Tse, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, Dr. S. Ramakrishnan, Sheikh Umar Bagharib Ali, Tosrin Jarvanthi, Tan Cheng Choon dan Mohd. Solihan Badri.
Tambah Md. Salleheen, kerajaan negeri perlulah memastikan beberapa elemen dasar seperti pelan pertumbuhan pembangunan ekonomi sedekad, pelan pembangunan bumiputera dan orang muda Johor, isu pencemaran sungai dan pantai, dasar perumahan serta projek bas Rapid Transit (BRT) serta Rapid Transit System (RTS) dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan Johor berada di landasan terbaik pada masa hadapan.
“Sewajarnya kerajaan negeri tidak perlu tunduk dengan desakan daripada anasir yang menghalang Johor daripada mengecapi kegemilangan dan kepesatan pembangunan kerana ia akan turut menjejaskan ekonomi rakyat secara keseluruhannya.
“Sudah tiba masanya kerajaan Pusat memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang akan dijalankan demi kebaikan bersama,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











