BENTONG 8 April – Generasi baharu Felda Lurah Bilut di sini yang merupakan Felda terawal negara berasa terkilan kerana projek perumahan generasi baharu di tanah rancangan itu hanya tinggal harapan selepas terbengkalai.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, hanya dua rumah contoh siap manakala selebihnya ditinggalkan di kawasan yang ditumbuhi rumput sejak projek dimulakan dua tahun lalu.
Hanya sebaris rumah teres yang mula dibina manakala kawasan lapang lain yang dirancang pembinaan unit seterusnya dibiar dipenuhi semak samun.
Seorang generasi kedua Felda Lurah Bilut, Elyana Mohd. Salleh, 36, berkata, dia dan generasi baharu di tanah rancangan berkenaan menaruh harapan tinggi agar projek berkenaan dapat disiapkan kerana mereka amat memerlukan rumah.
“Sejak berkahwin 17 tahun lalu, saya terpaksa menyewa rumah dan hingga kini empat kali berpindah. Saya menaruh harapan gar rumah generasi baharu ini dapat disiapkan.
“Saya merayu kepada kerajaan supaya meneruskan segera projek ini yang amat diperlukan generasi baharu. Sampai bila kami perlu terus menyewa, kami impikan rumah sendiri,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pada Januari lalu, pemaju dan pengurusan Felda ada memanggil mesyuarat dan menyatakan rumah berkenaan akan disiapkan selepas selesai isu berkaitan tanah.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada apa-apa tindakan malah kawasan projek pembinaan berkenaan dibiarkan ditumbuhi dengan semak. – UTUSAN ONLINE











