Galak pornografi, India haram Tik Tok - Utusan Malaysia

Galak pornografi, India haram Tik Tok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI 17 April – Kerajaan India, semalam mengarahkan syarikat gergasi teknologi Google dan Apple supaya menyekat aplikasi video Tik Tok daripada gedung pembelian aplikasi mereka selepas sebuah mahkamah melahirkan kebimbangan berhubung penyebaran bahan lucah melalui aplikasi itu.

Lapor Channel News Asia, aplikasi itu sebelum ini telah diharamkan di Bangladesh dan berdepan tuntutan saman oleh Amerika Syarikat (AS) kerana mengumpul maklumat kanak-kanak secara salah.

Kes itu mula disuarakan oleh satu kumpulan aktivis yang mendakwa aplikasi itu menggalakkan jenayah pedofilia dan pornografi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aplikasi yang mendakwa mempunyai 500 juta pengguna di serata dunia termasuk 120 juta di India, berusaha menghalang sekatan itu selepas Mahkamah Tinggi di Chennai mengeluarkan arahan untuk menyekatnya, 3 April lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung India, kelmarin menolak rayuan Tik Tok untuk menggantung keputusan itu dan dijangka mendengar semula kes ber­kenaan pada 22 April ini.

Menurut sumber Kementerian Teknologi dan Maklumat India, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada kedua-dua syarikat gergasi itu supaya mengeluarkan aplikasi ber­kenaan daripada gedung pembelian aplikasi mereka.

Aplikasi Tik Tok dimiliki oleh syarikat ByteDance yang berpangkalan di China, membolehkan penggunanya mera­kam dan berkongsi video pendek selama 15 saat secara dalam talian.

Semakan mendapati, Google telah mematuhi arahan tersebut, namun Apple masih belum berbuat demikian.

“Kami mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap institusi kehakiman India dan syarikat kami optimis mencari jalan alternatif yang boleh dite­rima baik oleh kira-kira 120 juta pengikut di negara itu,” kata Tik Tok, semalam.

Sementara itu, syarikat ByteDance pula memberitahu, pihaknya terpaksa mengeluarkan hampir enam juta video di India sejak Julai tahun lalu ke­rana melanggar garis panduan ditetapkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini