Etnik Uighur kian terancam - Utusan Malaysia

Etnik Uighur kian terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN Kebajikan Serantau Muslim (SM) melahirkan rasa simpati atas kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi umat Islam etnik Uighur di China.

Etnik minoriti Muslim Uighur ini bukan sahaja dilayan tanpa belas kemanusiaan malahan mereka dihadkan untuk mengamalkan budaya dan kepercayaan tersendiri. Muslim minoriti ini turut dilaporkan ditahan di kem-kem tahanan sulit di China namun dinafikan pihak berkuasa negara tersebut.

Kini, SM merasakan kehidupan etnik itu semakin terancam susulan pihak berkuasa China telah melancarkan dan menggunakan satu sistem teknologi pengenalan wajah secara meluas untuk mengesan etnik Uighur yang berada di seluruh republik tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

SM difahamkan, teknologi kecerdasan buatan (AI) itu merupakan sebuah teknologi pengenalan wajah yang dimasukkan kepada rangkaian kamera pemantau dan diprogramkan untuk mencari dan mengenal pasti etnik Uighur. Teknologi yang dicipta itu juga bertujuan menyasarkan Muslim minoriti Uighur yang berada di luar Xinjiang, wilayah terbesar di negara tersebut.

SM melihat teknologi AI ini sangat tidak wajar diteruskan penggunaannya kerana ia memberi ancaman besar kepada pergerakan etnik minoriti tersebut. Melalui teknologi itu juga China seolah-olah menjalankan misi untuk menghapuskan etnik Uighur secara besar-besaran.

SM juga melihat teknologi ini tidak perlu digunakan kerana lebih banyak cara yang baik boleh dilakukan. Pihak China sebenarnya perlu menghapuskan sikap teroris dalam kalangan diri mereka terlebih dahulu, bukannya menuding jari kepada mereka yang tidak mampu untuk berbuat sedemikian seperti etnik minoriti Uighur.

Sebelum ini, sekumpulan ulama dan pentadbir agama etnik Islam Uighur dari Xinjiang telah mendesak dunia Islam memberikan tekanan terhadap Beijing supaya menghentikan ‘perang budaya’ di wilayah itu. Namun SM melihat masih tiada negara luar yang mampu bertindak menghalang isu itu dari terus menimpa etnik Uighur ini. Yang ada hanyalah kritikan dan kebencian melalui kata-kata sahaja. Mungkinkah masih banyak negara bergantung harap kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China?

Dalam isu ini, SM berharap Malaysia yang dilihat kukuh mempunyai jalinan hubungan diplomatik antara China di bawah kepimpinan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar dapat bersuara dengan menasihati rakan kerjasama dari China ini untuk mencontohi Malaysia yang aman walaupun rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, pegangan agama dan budaya.

SM menyeru China agar menghormati hak asasi manusia etnik yang lain tanpa merosakkannya kerana sikap ekstremis yang diamalkan pihak berkuasa China hanya akan memusnahkan kepercayaan masyarakat dari seantero dunia.


PENULIS ialah Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini