KUALA LUMPUR 3 April – Nampaknya kos bagi ‘menyara’ kapal mewah Equanimity yang tinggi kini dilihat mendesak kerajaan untuk segera menjual kapal itu dengan harga yang lebih murah.
Walaupun kerajaan menjangkakan kapal itu perlu dijual sebelum 31 Mac lepas, namun sehingga kini masih tiada pembeli.
Menurut sumber, kerajaan berkemungkinan menurunkan harga kapal Equanimity sehingga AS$100 juta walaupun dirancang untuk dijual tidak kurang daripada AS$130 juta.
“Kerajaan semakin terdesak untuk menjual kapal itu kerana kos penyelenggaraan bulanan Equanimity ‘menekan’ pembayar cukai. Ia adalah harga pasaran, namun pembeli tidak tergesa-gesa untuk ‘merebut’ kapal itu dan sedang menunggu harga tawaran lebih baik.
“Mereka mengetahui bahawa harga kapal Equanimity bakal menurun kerana kerajaan semakin terdesak untuk menjualnya,” kata sumber itu seperti dipetik akhbar The Star hari ini.
Tambah sumber, terdapat beberapa pihak dari Asia Barat, Russia dan Asia berminat untuk membeli kapal Equanimity, namun enggan membayar pada harga ditetapkan.
“Ramai yang telah membuat tawaran untuk membeli kapal itu, namun hanya bersedia untuk mengeluarkan antara 80 hingga 100 juta Dolar AS sahaja,” katanya.
Kerajaan telah membelanjakan sehingga RM14.5 juta sejak lapan bulan lalu bagi menyelenggara kapal mewah itu. – UTUSAN ONLINE











