SHAH ALAM – Rakyat seharusnya menyambut baik serta memberikan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan menjimatkan wang negara sebanyak RM21.5 bilion menerusi rundingan pengurangan kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang turut menyifatkan penjimatan tersebut sebagai bukti bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengamalkan dasar pentadbiran yang yang telus serta bertangggungjawab.
“Kalau diikutkan semasa pentadbiran sebelum ini, kos asal pembinaan ECRL di adalah bernilai RM65.5 bilion.
“Bagaimanapun, selepas termeterainya perjanjian tambahan (SA) di antara CCCC (China Communications Construction Company Ltd.) dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. pada 12 April lalu, kos ECRL berjaya dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pada kadar 32.8 peratus berbanding kos asal yang meliputi dua fasa pembinaan dengan jarak keseluruhan 640 kilometer.
“Melihat daripada usaha ini, jelas bahawa kerajaan pada hari ini mengambil sikap berhati-hati serta mengambilkira kepentingan negara dan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan,” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu yakin bahawa perkembangan terkini mengenai ECRL itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat negara ini khususnya dari segi pembangunan kawasan-kawasan baharu.
Limpahan manfaat itu jelasnya lagi termasuklah kepada industri-industri tempatan yang berkaitan apabila mana kerajaan menyasarkan penglibatan 40 peratus kontraktor tempatan dalam projek tersebut yang dijangka siap pada Disember 2026 sebagaimana yang diumumkan oleh Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin semalam.











