KUALA LUMPUR 28 April – Tindakan dua lelaki menyamar pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia bertujuan untuk memeras ugut warga asing membawa padah apabila ditahan dalam kejadian di Jalan Pudu di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Rudy Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Tun H. S. Lee sedang membuat rondaan.
Anggota URB yang sedang membuat rondaan terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di laluan pejalan kaki berhadapan Balai Bomba Jalan Pudu, di sini dan bertindak membuat pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada mereka merupakan warga tempatan manakala dua lagi terdiri daripada warganegara India, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Rudy, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an terbabit menyamar sebagai pegawai Imigresen dan sedang membuat pemeriksaan terhadap dua warga asing berkenaan.
Katanya, selain menahan suspek, pihaknya turut merampas sebuah Proton Persona, baju T berwarna biru tertera logo polis dan telefon bimbit daripada dua lelaki berkenaan.
Dua suspek terbabit direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam, ujarnya. – UTUSAN ONLINE











