JERANTUT 10 April – Aktiviti mendaki bukit atau gunung semakin mendapat tempat di hati golongan muda tanpa mengira latar belakang pekerjaan serta jantina mereka yang mahu menguji kekuatan fizikal dan mental masing-masing.
Bagi dua doktor perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Dr. Nur Faryanna Farahim Suhaimi, 28, dan Dr. Siti Munirah Che Osmi, 28, bersama rakan-rakan mereka, bukit batu kapur di Kampung Paya Gunung dekat sini menjadi lokasi pilihan mereka untuk melakukan kegiatan ekstrem itu baru-baru ini.

Lereng bukit Kampung Paya Gunung yang dikenali sebagai via ferrata menjadi tumpuan pendaki untuk menikmati pemandangan kawasan kampung, bandar Jerantut, Felda, gua bersejarah Kota Gelanggi dan Gunung Senyum.
Dr. Siti Munirah berkata, aktiviti ekstrem itu cukup menyeronokkan dan patut dicuba oleh golongan wanita sebagai kegiatan mencabar kekuatan fizikal serta mental.
“Aktiviti ini tidak memerlukan pengalaman atau kemahiran yang tinggi. Lebih penting, fikiran kita perlu berfokus ditambah dengan minat sehingga mampu tiba di puncak via ferrata ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr. Nur Faryanna Farahim berkata, pendakian bukit batu kapur di Paya Gunung sangat menarik dan mencabar.
Keadaan itu katanya, memenuhi minatnya terhadap aktiviti lasak.
“Saya sudah lama mencari lokasi yang menarik untuk aktiviti pendakian ini, ternyata via ferrata Paya Gunung sangat menarik serta berasa teruja melihat pemandangan

persekitaran kampung, perumahan dan ladang sawit ketika berada di puncak,” katanya.
Adiknya yang turut menyertai pendakian itu, Nuraini Kamilia Farahim, 23, pula berkata, aktiviti mendaki melalui trek yang curam dan batu tajam merupakan pengalaman baharu baginya berbanding sebelum ini apabila hanya bergiat aktif dalam sukan di atas gelanggang.
“Walaupun pada awalnya berasa takut dan gayat, perasaan itu dapat dikikis setelah diberi keyakinan dan tunjuk ajar daripada jurulatih mendaki Kelab Ekstrem Paya Gunung, Wan Ruhaiza Wan Daud dengan bantuan peralatan sehingga tiba di puncak,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Ruhaiza mengakui, dia kagum dengan semangat dan keyakinan yang ditunjukkan oleh kumpulan pendaki wanita muda tersebut sehingga berjaya tiba di puncak tanpa sebarang masalah.










