LONDON 21 April – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memberi bayangan Kevin De Bruyne akan terlepas baki perlawanan musim ini selepas mengalami kecederaan selepas mereka menang 1-0 ke atas Tottenham.
De Bruyne sebelum ini terlepas hampir separuh musim selepas mengalami kecederaan ligamen lutut.
Bintang Belgium itu juga terlepas kebanyakan aksi bulan Mac selepas mengalami kecederaan paha sebelum kembali dengan aksi cemerlang membantu City menang 4-3 ke atas Spurs dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi gagal ke separuh akhir saingan elit Eropah itu.
De Bruyne pada mulanya beraksi cemerlang dalam aksi semalam tetapi mengalami kesakitan di bahagian lutut kiri semasa mengambil sepakan sebelum memasuki waktu rehat dan Guardiola merasakan dia akan terlepas baki aksi musim ini termasuk final Piala FA menentang Watford.
“Saya tidak tahu, tetapi mungkin melibatkan otot.
“Perkara ini normal selepas kecederaan dan selepas tiga atau empat perlawanan terakhir perkara seperti ini akan berlaku sekiranya persediaan rapi tidak dilakukan.
“Agak mengecewakan kerana kami sudah sampai ke saat terbaik musim ini dan kami akan kehilangannya untuk beberapa hari dan mungkin dia akan terlepas Piala FA tetapi kita akan lihat perkembangannya,” kata Guardiola.-AGENSI











