GUA MUSANG – Sebanyak 1,600 mural tapak tangan berjaya dicipta oleh penduduk dan warga emas di bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe), Tanah Rancangan Felda Chiku 6, di sini semalam.
Program berkenaan anjuran Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Gua Musang bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sempena program University Community Engagement (UCE).
Pengerusi Pawe Gua Musang, Siti Khatijah Mohamed Nor berkata, program itu mencapai matlamat apabila mendapat penglibatan daripada penduduk sekitar pelbagai peringkat umur, daripada golongan kanak-kanak sehinggalah warga emas.
Katanya, program itu memberi manfaat apabila tujuan utamanya ialah membina hubungan antara golongan muda dan warga emas iaitu saling bekerjasama serta bantu membantu.
“Program ini mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar apabila penglibatan terdiri daripada masyarakat di Tanah Rancangan Felda yang terdiri daripada pelbagai usia.
“Aktiviti mural ini juga dijangka mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records bagi kategori mural tangan paling terbanyak,” katanya di sini semalam.
Seorang warga emas, Abdul Razak Abdul Rahman, 71, pula berkata, dia bersyukur apabila dapat melibatkan diri dalam program berkenaan.
Katanya, buat pertama kalinya dia membuat mural tapak tangan tersebut.
“Kita melihat banyak penyertaan golongan muda dan warga emas. Kami menganggap program ini berjaya apabila sasaran 1,600 mural tapak tangan berjaya dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Nor Alia Ayuni Mohd. Razali, 21, gembira apabila menyertai program berkenaan bersama rakan-rakannya yang lain.
Katanya, program itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk terlibat.
“Kita berjaya mencipta mural itu dalam tempoh lima jam sahaja apabila semua penduduk memberi kerjasama yang baik,” katanya. K! ONLINE











